Pengenalan
Stres boleh berlaku kepada kanak-kanak dan remaja.
Kanak-kanak dan remaja pada hari ini terdedah kepada pelbagai peristiwa yang boleh
menyumbang kepada stres di peringkat usia yang masih muda. Tindak balas yang
tidak sihat terhadap stres berlaku apabila kanak-kanak dan remaja mengalami
stres yang melampaui tahap yang boleh diterimanya.
Apakah kaitan stres dan tingkah laku
kanak-kanak dan remaja ?
Kanak-kanak dan remaja yang tidak berupaya memenuhi
harapan tinggi orang-orang di sekelilingnya (ibu bapa, guru) akan mewujudkan masalah
emosi seperti (murung, sedih, resah dan gelisah) serta masalah tingkah laku
seperti (ponteng sekolah, mencuri, dan terlibat dalam jenayah).
Apakah punca-punca stres di kalangan
kanak-kanak dan remaja?
Punca-punca stress di kalangan kanak-kanak dan
remaja boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu:-
Peribadi/diri
- Meletakkan
cita-cita dan harapan yang terlalu tinggi, mempunyai harga diri yang
rendah, kurang yakin pada diri sendiri
- Takut
untuk gagal
- Perubahan
pada tubuh badan akibat hormon, penyakit atau pemakanan
- Membandingkan
diri dengan orang lain seperti adik-beradik atau rakan
Rumah
- Konflik
antara ibu bapa atau keluarga, perpisahan dengan ibu bapa atau keluarga
- Perceraian
ibu bapa atau kematian ibu bapa
- Kelahiran
adik baru
- Berpindah
rumah baru
- Mengalami
penderaan dan pengabaian
Sekolah
- Bertukar
sekolah
- Dihukum
guru atau dipersendakan rakan di sekolah
- Berkelahi
dengan rakan-rakan
- Dibuli
rakan
Persekitaran Sosial
- Kekurangan
dari segi sosio-ekonomi (tempat tinggal sempit, tiada tempat permainan,
tiada sistem pembetungan, air dan elektrik)
- Persekitaran
dan kejiranan yang kurang selamat (ketagihan alkohol, penyalahgunaan
dadah, pelacuran).
Bagaimana stres boleh mempengaruhi
kanak-kanak/remaja?
Secara positif:
Secara positif, stres boleh memotivasikan seseorang
untuk memperbaiki dirinya sehingga ia dapat menghasilkan kerjanya dengan
cemerlang. Contohnya pelajar perlu menghadapi peperiksaan walau pun peperiksaan
itu suatu stres kerana tanpa peperiksaan pelajar tidak akan belajar
bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang memuaskan.
Secara negatif:
Kesan negatif stres terhadap kanak-kanak dan remaja
boleh dibahagikan kepada kesan emosi, fizikal dan tingkah laku.
- Kesan
emosi adalah seperti menangis, membuat perangai, mengundurkan diri
daripada situasi yang tidak disenangi, risau, letih, tertekan, memencilkan
diri, marah dan agresif.
- Kesan
fizikal adalah seperti sakit kepala atau sakit perut.
- Kesan
tingkah laku adalah seperti enggan mematuhi arahan (melanggar peraturan
sekolah) dan perlakuan berisiko tinggi seperti penyalahgunaan dadah,
merokok, lumba haram, mencuri dan mencederakan diri.
Apakah gejala stres di kalangan
kanak-kanak dan remaja?
Gejala stres berlaku apabila ia tidak dapat
ditangani oleh kanak-kanak dan remaja. Kesannya juga berbeza dari segi simptom
dan tahap keseriusannya. Kanak-kanak dan remaja akan menunjukkan perubahan
tingkah laku dan bertindak melakukan perkara-perkara yang di luar batasan usia
mereka. Kanak-kanak berumur 2-6 tahun, mereka akan menunjukkan kemerosotan
tingkah laku seperti menghisap ibu jari, menangis dan merengek kerana merasa
takut tanpa kehadiran ibu-bapa. Di peringkat awal, kanak-kanak ini boleh
menunjukkan tanda-tanda seperti :
- memencilkan
diri
- sikap
tidak mempercayai sesiapa
- tidak
mahu hadir ke sekolah atau tidak suka berkawan
- bersikap
menentang atau tidak mematuhi arahan
- panas
baran
- mempunyai
masalah untuk melahirkan perasaan
Kanak-kanak berusia 6-12 tahun menunjukkan
tanda-tanda seperti:
- bimbang
tentang masa depan
- mengadu
sakit kepala
- mengalami
masalah tidur
- hilang
selera makan
- kurang
menumpukan perhatian pada kerja sekolah
- kencing
malam
Bagaimana mengatasi stres di kalangan
kanak-kanak dan remaja ?
Stres boleh di atasi. Kanak-kanak dan remaja perlu
mempelajari cara-cara untuk mengatasinya agar hidup mereka lebih sihat dan
terlindung daripada tingkah laku negatif yang akan menyusahkan hidup mereka.
Cara-caranya ialah:
- Kenal pasti tanda-tanda stres
- Lakukan
yang terbaik mengikut kemampuan diri (jangan meniru/mengikut orang lain
untuk menunjukkan kita hebat)
- Cuba
menerima apa yang kita tidak dapat ubah dan jangan risau tetang kekurangan
yang ada
- Berkongsi
masalah dengan keluarga, kawan-kawan atau guru kaunseling. Mereka boleh
memberikan bantuan pendapat dan cadangan supaya kita boleh membuat
keputusan dengan lebih baik dan berkesan.
- Berfikiran
positif. Nyatakan saya boleh, saya mampu buat.
- Merancang
masa dengan bijak
- Lakukan
aktiviti riadah/bersenam/bermain di masa lapang.
- Bersikap
aserti – berani berkata “TIDAK”.
- Tetapkan
matlamat yang realistik
- Beribadat/mengerjakan
solat dan berdoa kepada Allah – ini boleh mententeramkan diri
- Jangan merokok atau mengambil dadah untuk melegakan stres. Dengan cara ini dia boleh menimbulkan masalah lebih besar.
Pada pandangan anda, bagaimanakah keadaan kesihatan
mental kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah di Malaysia? Adakah mereka
menghadapi stress yang tinggi? Bincangkan.







